Kini Malaysia memiliki satu lagi alternatif untuk menghantar barang, menerusi PGEON. Ia merupakan kerjasama pakar penghantar barangan berasaskan web, EasyParcel bersama penyedia cawangan runcit terbesar Malaysia, Bison. Pendek cerita, PGEON adalah khidmat EasyParcel yang terdapat di myNEWS.com, salah satu syarikat di bawah Bison.
Dengan PGEON, pengguna servis EasyParcel kini mempunyai satu pilihan baru, menghantar atau mengambil parcel dan barangan mereka dari mana-mana 320 cawangan myNEWS.com di seluruh negara.
Menurut CEO dan pengasas EasyParcel, Clarence Leong berkata, perkara paling menarik dalam kerjasama ini adalah, penghantaran tepat pada masa atau hari yang sama. Ia merupakan tunggak utama kerjasama ini, memastikan penghantaran dan penerimaan barangan dengan pantas.
PGEON juga lebih memudahkan syarikat kurier dan pengguna. Petugas kurier tidak perlu lagi pergi dari rumah ke rumah, hanya ke cawangan myNEWS.com untuk memungut dan menghantar barangan. Pengguna pula, dapat memastikan maklumat peribadi mereka lebih dilindungi.
Khas untuk cawangan myNEWS.com di pusat beli-belah Mid Valley, minuman Coca-Cola percuma diberikan apabila menggunakan perkhidmatan PGEON.
EasyParcel merupakan lamanweb setempat, menggabungkan pelbagai servis penghantaran dan kurier dalam satu platform yang mudah digunakan pelbagai lapisan masyarakat. Antara syarikat kurier yang terdapat di EasyParcel adalah Poslaju, Skynet, Airpax, Nationwide dan DHL.
PGEON pula adalah invoasi terbaru dari EasyParcel, menunjukkan komitmen berterusan mereka untuk memenuhi kehendak pelanggan yang pelbagai, di samping menurunkan kos syarikat dan mempercepatkan proses penghantaran.
Buat masa ini, sebanyak 320 cawangan myNEWS.com terlibat dengan PGEON. Bison menjangkakan terdapat 70 lagi cawangan akan dibuka di seluruh sepanjang tahun 2017. Ini menambah lagi lokasi penghantaran dan penerimaan PGEON.
Perniagaan dalam talian dan penerimaan orang ramai untuk membeli-belah dalam talian, semakin meningkat di Malaysia. Servis penghantaran merupakan tulang belakang penting buat perniagaan dalam talian. Sedikit sebanyak, PGEON dan EasyParcel akan turut menyumbang dan mendapat faedah dalam perkembangan ini.
Dapatkan maklumat lanjut tentang servis PGEON dan cawangan myNEWS.com yang terlibat, di laman web PGEON Delivery.
Source: The Skop